Penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin mendapat peluang keemasan untuk menyinar di Jepun.
Pemain berusia 22 tahun itu kembali beraksi setelah lama menyepi dalam skuad Yokohama SCC dalam saingan J3- League.
Beliau yang merupakan watak penting skuad Malaysia B-23 di Piala Asia bulan April lalu kembali mendapat kepercayaan pengendali, Kazuki Kuranuki.
Anak jati Kelantan itu masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua bagi menggantikan tugas Minoru Hanafusa berbaki 11 minit bermain.
Kemasukannya bagaimanapun gagal menghalang kekalahan Yokohama SCC kepada Imabari dengan keputusan 3-1.
Daripada tujuh penampilan, Luqman hanya sekali melakukan kemunculan dalam kesebelasan utama ketika menentang Matsumoto Yamaga pada 9 Mac lalu.
Aksi selebihnya merupakan penampilan sebagai pemain gantian dan sekiranya dihimpunkan dengan semua minit permainan dalam semua penampilannya, Luqman hanya merekodkan 121 minit permainan.
Yokohama SCC kini berada pada kedudukan ke-18 dengan 31 mata manakala Imabari pada kedudukan kedua liga dengan 60 mata.