3 pemain Malaysia mengharungi musim yang berbeza di Liga Thailand ketika ini.
Saingan Thai League One sudah kian hampir ke penghujung dengan 29 perlawanan telah pun ditempuhi tatkala berbaki satu lagi perlawanan sebelum musim 2025/2026 ini menutup tirai.
Tumpuan peminat Malaysia pastinya terarah kepada kelibat pertahanan Harimau Malaya, Daniel Ting yang kini bermain untuk Ratchaburi secara pinjaman sejak bulan Januari yang lalu.
Persembahan cukup konsisten dipamerkan oleh Daniel Ting apabila sering kali menjadi pilihan jurulatih Ratchaburi untuk membarisi kesebelasan utama setiap minggu dan menerima rating yang tinggi.
Hasilnya, Daniel Ting dan Ratchaburi kini menduduki tangga ketiga Thai League One selepas mengutip 56 mata daripada 29 aksi selain mengesahkan slot ke AFC Champions League Two (ACL2) musim hadapan.
Kisah berbeza pula melibatkan seorang lagi pemain Harimau Malaya, Sergio Aguero yang bermain bersama Kanchanaburi Power musim ini selepas berpisah dengan Sri Pahang tahun lalu.
Kanchanaburi Power yang baru dinaikkan pangkat ke Thai League One musim ini tampak bergelut bagi memberikan saingan kepada kelab-kelab lain sehingga terperosok ke dasar liga.
Walaupun memiliki pemain ternama seperti bekas bintang Spurs, Andros Townsend dan Anumanthan dari Singapura, namun prestasi Kanchanaburi Power musim ini tidak seperti diharapkan.
Selepas 29 perlawanan, Kanchanaburi Power sah tersingkir ke Thai League Two musim hadapan dengan Sergio Aguero hanya mencatatkan 17 penampilan dan hanya menyumbang satu bantuan gol.
Seorang lagi pemain yang bermain di Thailand adalah Annil Vigneswaran yang menyarung jersi kelab Thai League Two, Nakhon Si United dan berjaya membuat 7 penampilan pada musim ini.
Sungguhpun begitu, jodoh pemain berusia 22 tahun itu dan Nakhon Si United tidak panjang selepas beliau memutuskan untuk tidak menyambung kontrak sebaik musim ini berakhir.