Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa tampil memohon maaf atas kenyataannya selepas aksi Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) menentang Shandong Luneng.
Aksi Liga Timur ACLE antara JDT dan Shandong pada 26 November lalu berakhir dengan kekalahan 1-0 buat Harimau Selatan. Penyerang Brazil, Zeca menjadi wira buat kelab Chinese Super League (CSL) itu.
Aksi ini turut menyaksikan beberapa keputusan yang dibuat pengadil Australia, Alireza Faghani mengundang rasa tidak puas hati kem JDT.
Selepas perlawanan, Natxo meluahkan rasa tidak puas hati tentang apa yang berlaku sepanjang perlawanan Shandong dan JDT.
“Menarik untuk siapa? Adakah (aksi) menarik itu untuk penyokong, pengadil atau kita, untuk siapa? Ya, macam saya katakan, jawapannya tetap sama.
“Mereka (Shandong Taishan) beraksi dengan 14 pemain. Jika anda perasan tentang pengadil, daripada 10 pemain, tiga atau empat orang pemain dilayangkan kad kuning (pada 30 minit awal permainan). Itu bukan sesuatu yang normal tetapi perlawanan sudah berakhir,” katanya.
Kini, pemain tengah berusia 38 tahun itu memohon maaf atas kenyataannya selepas aksi berkenaan.
“Saya baru-baru ini melihat kenyataan pascaperlawanan selepas aksi ACLE menentang Shandong Luneng dan saya mahu memohon maaf kepada penyokong China dan pertandingan itu sendiri.
“Saya tak ingat apa yang saya katakan sehingga saya melihat semula video berkenaan dan saya merasa menyesal atas kenyataan saya.
“Saya amat kecewa kerana kita bersaing cukup serius dalam perlawanan dan kita berhak untuk menang kerana itu mungkin langkah besar kepada objektif kita untuk layak ke pusingan 16 terbaik ACLE buat kali kedua dalam sejarah kita, kekecewaan yang bercakap bagi pihak saya,” katanya dalam satu hantaran Instagram Story.
Natxo turut memberi jaminan perkara itu tidak akan berulang dan berharap penyokong dapat memahami situasinya. Ini kerana musim 2024/25 berkemungkinan musim terakhirnya dalam bola sepak profesional.
“Ini tidak akan berulang lagi dan saya harap peminat bola sepak dan AFC boleh memahami rasa cinta dan sayang saya kepada bola sepak di mana kadang-kadang ia boleh menjadi tidak terkawal.
“Ini terutama cinta saya kepada Johor di mana saya berada di sini selama tujuh tahun dan saya mahu bermain dalam satu lagi pusingan 16 terbaik ACLE dalam apa yang berkemungkinan musim terakhir saya dalam bola sepak profesional.
“Sekali lagi, saya harap sesiapa saja yang tersinggung dengan kenyataan saya boleh memaafkan saya kerana itu tidak bersifat peribadi tetapi kekecewaan demi mendapatkan yang terbaik untuk JDT,” tambahnya.
Natxo sudah beraksi sebanyak 16 kali dalam semua kejohanan untuk JDT termasuk saingan ACLE.