Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Nazmi Faiz Mansor berpeluang kembali bekerjasama dengan bekas jurulatih Selangor FC, Mehmet Durakovic.
Ini selepas wartawan sukan The Star, T. Avineshwaran melaporkan nama pemain tengah berusia 31 tahun itu antara tiga pemain yang diburu Imigresen FC.
Selain Nazmi, The Mighty Tigers juga mahu mendapatkan dua pemain Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Syazwan Andik dan Azrif Nasrulhaq.
“Imigresen berminat mendapatkan bek kiri Kuala Lumpur, Syazwan Andik, pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Nazmi Faiz Mansor dan bek kanan Kuala Lumpur, Azrif Nasrulhaq,” katanya di X.
Nazmi tidak asing dengan legenda Selangor itu. Ini kerana kedua-duanya pernah bekerjasama semasa Durakovic membimbing pasukan itu dari 2014 hingga 2015.
Antara kejayaan yang dilakar kedua-duanya semasa bersama Selangor ialah muncul juara Piala Malaysia edisi 2015.
Durakovic kembali ke Malaysia sebagai jurulatih Imigresen yang baharu. Selain Selangor, beliau juga pernah membimbing Perak dari 2017 hingga 2020.