Negeri Sembilan Bakal Diuji Kelab Indonesia
MakanBola
Negeri Sembilan FC

Negeri Sembilan FC bakal menghadapi cabaran kelab Liga 2 Indonesia, PSMS Medan dalam satu aksi persahabatan antarabangsa.

Pengumuman ini dibuat pengurusan skuad Rusa menerusi satu hantaran di platform media sosial rasmi pasukan itu pada 24 Ogos lalu.

Ad

Aksi Negeri Sembilan dan PSMS bakal berlangsung di Stadium Mini Tampin pada jam 4.45 petang, 25 Ogos ini. Kemasukan penyokong di stadium pada hari perlawanan adalah percuma.

Ad

Perlawanan ini dilihat sebahagian daripada persiapan PSMS untuk menghadapi kempen Liga 2 Indonesia musim 2024/25 yang akan bermula pada 7 September ini.

Bagi Negeri Sembilan pula, aksi ini menjadi sebahagian daripada beberapa siri perlawanan persahabatan yang diatur pengurusan pasukan itu.

Ad

Ini bagi memastikan barisan anak buah K. Nanthakumar tampil mantap sebelum aksi Liga Super menentang Perak FC pada 14 September.

Ad

Skuad Rusa bukan satu-satunya lawan PSMS sepanjang berada di Malaysia. Sebelum ini, mereka telah membelasah wakil Liga A1 Semi-Pro, PT Athletic FC 6-1 dalam aksi persahabatan pada 20 Ogos lalu.

Ad

Ini disusuli aksi persahabatan menentang PDRM FC pada 23 Ogos lalu. Walau bagaimanapun, perlawanan tersebut dibatalkan selepas padang Stadium Majlis Perbandaran Selayang digenangi air susulan hujan lebat pada hari tersebut.

Selepas Negeri Sembilan, PSMS akan menutup jelajah pra-musim di Malaysia dengan turun menentang satu lagi pasukan Liga A1, Bukit Tambun FC pada 26 Ogos.

Skuad Rusa ketika ini menduduki tangga ke-12 liga dengan empat mata. Mereka berharap dapat menambah lebih banyak mata apabila kempen liga kembali bersambung pada September ini.

Aksi terakhir Negeri Sembilan menyaksikan mereka berjaya mengikat Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 2-2 pada 17 Ogos lalu.