Negeri Sembilan FC menjadi pasukan Liga Super terbaru yang bakal diuji kelab Singapore Premier League (SPL).
Ini selepas pengurusan Sang Rusa memaklumkan mereka bakal berdepan bekas juara SPL musim 2023, Albirex Niigata. Perlawanan itu bakal berlangsung pada 12 Oktober di Stadium Mini Kuala Pilah.
“Aksi persahabatan buat anak buah K. Nanthakumar. Skuad Jang bakal melayani kunjungan Albirex Niigata FC Singapore di Stadium Mini Kuala Pilah, petang ini.
“Sepak mula perlawanan ialah pada jam 5.15 petang. Masuk adalah percuma,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Aksi ini merupakan sebahagian daripada usaha jurulatih, K. Nanthakumar memastikan Sang Rusa kekal berada pada tahap kecergasan yang bagus.
Negeri Sembilan dijangka menurunkan barisan terkuat untuk menghadapi Albirex termasuk penyerang import baru mereka dari Brazil, Ricardo Pires.
Selain Negeri Sembilan, pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) juga bakal berdepan satu lagi kelab SPL, Balestier Khalsa.
Aksi persahabatan kelab antarabangsa itu bakal diadakan pada 14 Oktober ini di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).