Negeri Sembilan Buat Rombakan Kejurulatihan
MakanBola
Kedah Darul Aman FC
Sponsors

Susulan prestasi buruk yang membelenggu Negeri Sembilan FC sejak dari awal musim 2024/25, pengurusan pasukan itu melakukan rombakan ke atas struktur kejurulatihan.

Tujuh aksi awal Liga Super menyaksikan skuad Rusa hanya merekodkan satu kemenangan dan enam kekalahan. Ini termasuk kekalahan terbaru 2-1 di tangan PDRM FC.

Ad

Selain itu, Negeri Sembilan turut disingkirkan daripada saingan Piala FA 2024 apabila tewas 4-0 kepada Selangor FC dalam aksi pusingan 16 pasukan terbaik.

Ad

Enggan melihat pasukan itu lebih ketinggalan menjelang tetingkap kedua perpindahan Liga Malaysia (Liga M), pengurusan skuad Rusa melancarkan rombakan ke atas struktur kejurulatihan pasukan itu.

Peranan jurulatih kini disandang bekas pemain kebangsaan, K. Nanthakumar. Jurulatih berusia 46 tahun itu sebelum ini merupakan penolong jurulatih kepada jurulatih sebelumnya, Azzmi Ab Aziz.

Ad

Nanthakumar bakal dibantu dua legenda Negeri Sembilan iaitu K. Rajan dan Effendi Malek sebagai penolong jurulatih. Effendi sebelum ini memegang peranan sebagai Pengarah Teknikal Negeri Sembilan.

Ad

Negeri Sembilan turut mengumumkan perlantikan semula Megat Amir Faisal sebagai jurulatih penjaga gol menggantikan seorang lagi legenda skuad Rusa, Mohd Hamsani Ahmad.

Ad

Manakala Azzmi pula menggalas peranan sebagai pengarah teknikal baru pasukan menggantikan Effendi. Rombakan ini diumumkan Negeri Sembilan menerusi satu kenyataan di laman sesawang rasmi mereka.

Skuad Rusa melihat rombakan ini bukan saja membantu pasukan kekal kompetitif. Malah, ini tidak akan menggugat perancangan jangka panjang pasukan itu.

“Pihak kelab juga kekal komited terhadap perancangan jangka panjang yang telah direncanakan pada awal musim meliputi aspek pembangunan serta objektif yang ingin dicapai pada masa hadapan.

“Secara tambahan, diharap agar sokongan berterusan dapat diberikan bagi mengharungi fasa penting dalam perjalanan membina semula kelab ini,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Pengumuman ini sekaligus mengesahkan Nanthakumar bakal mengendali Negeri Sembilan menjelang aksi terbaru Liga Super dengan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada 17 Ogos ini.