Advertisement
Negeri Sembilan Bertandang Ke Kedah Tanpa Azzmi Aziz
Liga Super
MakanBola
Azrihazq / MakanBola

Pengendali Negeri Sembilan, Azzmi Aziz tidak akan bersama pasukannya apabila bertandang ke Kedah bagi aksi Liga Super pada Sabtu.

Negeri Sembilan kini menduduki tangga ke-12 liga setelah mengutip hanya 3 mata hasil satu kemenangan dan enam kekalahan daripada tujuh perlawanan selain tersingkir awal dari saingan Piala FA.

Terbaharu, sang Rusa tunduk 1-2 di laman sendiri kepada PDRM hasil jaringan dua bekas penyerang, Bruno Suzuki dan Shahrel Fikri untuk meletakkan kedudukan Azzmi Aziz sebagai ketua jurulatih dalam bahaya.

Menerusi ciapan daripada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi, Azzmi Aziz tidak akan berangkat ke Kedah bersama pasukan dan tugas itu akan diambil alih oleh K. Nanthakumar.

“Difahamkan Ketua Jurulatih Negeri Sembilan, Azzmi Ab Aziz tidak akan bersama pasukan untuk aksi Liga Super seterusnya bertemu Kedah di Alor Setar pada Sabtu.”

“Tugas ketua jurulatih dijangka akan dipikul oleh K. Nanthakumar,” tulis Fadhirul lagi.

Negeri Sembilan akan bertandang ke utara tanah air untuk membuat perhitungan menentang Kedah dalam aksi Liga Super pada Sabtu di Stadium Darul Aman.