Bekas pemain sayap KL City FC, Jovan Motika menjadikan Negeri Sembilan FC sebagai destinasi baharunya untuk musim 2025/26.
Perpindahan pemain sayap berusia 26 tahun itu diumumkan pengurusan Sang Rusa menerusi satu kenyataan di platform rasmi mereka.
“Laju, lincah, berbisa. Jovan Motika kini bersayap di Negeri! Bersedia digempur tanpa ampun!
“Pihak kelab dengan bangganya mengumumkan ketibaan Jovan Motika bagi memperkuat barisan serangan The Jangs musim ini.
“Motika berusia 26 tahun sebelum ini beraksi bersama KL City FC telah membuat 23 penampilan dan menjaringkan empat gol,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Bisa Motika cukup dikenali pengendali Negeri Sembilan, Nidzam Jamil. Ini kerana bekas pemain FK Radnik Bijeljina itu meledakkan gol kemenangan KL City semasa beliau membimbing Selangor FC.
Motika menjadi tonggak import pertama Negeri Sembilan bagi menghadapi musim 2025/26. Beliau juga menjadi pemain KL City terbaru menyertai Sang Rusa selepas Azri Ghani dan Anwar Ibrahim.
Mereka dijangka disertai seorang lagi bekas tonggak import The City Boys, Adrijan Rudovic. Ini kerana Sang Rusa dilaporkan mahu mendapatkan khidmatnya.