Selepas mengumumkan pelantikan Nidzam Jamil sebagai jurulatih baharu, Negeri Sembilan FC mengumumkan perpindahan tiga bintang skuad kebangsaan.
Tiga pemain tersebut ialah Luqman Hakim Shamsudin, Azri Ghani dan Khuzaimi Piee. Perpindahan trio berkenaan disahkan oleh pengerusi pasukan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
“Bagi menjayakan visi ini, NSFC membuat keputusan untuk menandatangani beberapa pemain utama, antaranya penyerang Luqman Hakim Shamsudin, penjaga gol Muhd Azri Abd Ghani, dan pemain pertahanan Ahmad Khuzaimi Piee,” katanya dalam satu kenyataan.
Perpindahan ini memperlihatkan keinginan Sang Rusa untuk bangkit selepas hanya menduduki tempat ke-12 liga pada musim 2024/25.
Sebelum menyertai Negeri Sembilan, Luqman dikaitkan dengan perpindahan ke juara Piala Malaysia 2001, Terengganu FC. Beliau kembali ke Malaysia selepas berkelana di luar negara selama lima setengah musim.
Khuzaimi pula bukan asing dengan Negeri Sembilan. Ini kerana beliau pernah beraksi untuk Sang Rusa pada 2022 sebelum menyertai Selangor.
Selepas menabur bakti bersama KL City selama tiga musim, Azri berkelana ke Negeri Sembilan. Beliau bakal bersaing dengan Aqil Razak untuk slot penjaga gol utama.
Sang Rusa juga dijangka memuktamadkan perpindahan beberapa pemain import bagi memperkuat cabaran untuk musim 2025/26.