Terengganu FC sudah mula mengatur langkah untuk merisik khidmat penyerang KV Kortrijk, Luqman Hakim Shamsudin.
Perkara ini disahkan sendiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu, Mohd Sabri Abas apabila ditanya tentang minat pasukan itu terhadap Luqman.
Sabri memaklumkan pengurusan Peteh bakal mengadakan pertemuan dengan bekas penyerang Yokohama Sports & Culture Club (YSCC) itu pada Mei ini.
“Kami sudah risik pemain itu (Luqman) bagi membolehkannya beraksi bersama TFC pada saingan Liga M nanti. Lagi pun kami serius untuk mendapatkan khidmat penyerang kebangsaan itu.
“Bagi memastikan ianya menjadi kenyataan, jika tiada aral pihak kami akan mengadakan pertemuan dengan pemain itu pada Mei nanti untuk perbincangan lebih terperinci,” katanya seperti dilaporkan Stadium Astro.
Sabri berharap usaha ini bukan saja dapat membantu Terengganu memperkasa jentera serangan pasukan itu untuk musim 2025/26.
Malah, beliau percaya Terengganu pasukan terbaik buat Luqman kembali mendapatkan minit permainan yang kerap sekiranya perpindahan ini menjadi kenyataan.
“Pihak kami mengharapkan perjumpaan itu nanti bakal berakhir dengan keputusan positif dalam misi TFC untuk memperkasakan lagi jentera serangan pada saingan akan datang.
“Pada masa sama minit permainan penyerang tempatan itu bakal bertambah sekali gus mampu meningkatkan lagi prestasinya,” ujarnya.
Terengganu bukan satu-satunya pasukan yang dilaporkan berminat mendapatkan Luqman. Selangor FC dan Negeri Sembilan FC dilaporkan turut memburu khidmat penyerang berusia 23 tahun itu.