Sukan Asia: Azizulhasni Awang Raih Emas Acara Keirin
UltraSukan
MNCF

Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menambah koleksi pingat emas Malaysia dalam Sukan Asia 2026 apabila mengungguli acara keirin.

Selepas hanya meraih pingat gangsa dalam acara pecut, jaguh berusia 38 tahun itu berharap dapat bangkit dalam acara kegemarannya, keirin.

Cabaran Malaysia dalam acara keirin dilihat mantap apabila Azizulhasni diiringi rakan senegara, Shah Firdaus Sahrom dalam perlumbaan akhir keirin. Ini selepas kedua-duanya mengesahkan kemaraan di peringkat separuh akhir.

Azizulhasni dan Shah Firdaus dicabar dua jaguh China, Li Zhiwei dan Xie Han, pelumba tuan rumah, Minato Nakaishi dan jaguh Hong Kong, Yung Tsun Ho.

Meskipun cuba dikepung dua pelumba China, Azizulhasni berjaya memecut pada pusingan terakhir untuk mengungguli acara keirin. Li Zhiwei dan Xie Han masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan ketiga.

Shah Firdaus pula terpaksa berpuas hati di tempat kelima. Emas Azizulhasni menyaksikan Malaysia kini meraih lapan pingat emas dalam temasya Sukan Asia 2026 setakat ini.

Ini pingat emas kedua beliau dalam Sukan Asia sejak meraih emas acara sama dalam edisi 2010 di Guangzhou, China.