Negeri Sembilan dan penyerang import, Mika Junco secara rasmi telah berpisah dan dikhabarkan pengganti beliau sudah pun berada dalam perjalanan.
Pada Sabtu, Negeri Sembilan mengumumkan perpisahan dengan Mika Junco dalam satu hantaran di media sosial setelah kedua-dua pihak bersetuju untuk menamatkan kontrak.
Peledak kelahiran Sepanyol itu hanya menyumbang satu jaringan sepanjang lapan penampilan bersama skuad Rusa sejak dibawa masuk pada awal musim yang lalu.
Secara keseluruhan setelah 9 aksi liga, skuad Jang hanya merekodkan lapan jaringan, kedua terendah selepas Kelantan DN yang mencatat empat gol sepanjang musim ini.
Situasi ini sememangnya menggusarkan para peminat Negeri Sembilan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Faliq Firdaus mengambil maklum mengenai prestasi semasa pasukan.
Menurut Faliq, seorang lagi pemain baharu akan tiba selepas Negeri Sembilan mengumumkan kehadiran bekas pemain KL City, Sebastian Avanzini sebagai rekrut baharu pada Jumaat.
”Ada satu lagi (pemain baharu). Dalam perjalanan,” tulis Faliq di laman X.
Tambah beliau lagi, posisi pemain yang bakal dibawa masuk tersebut adalah seorang penyerang dan bakal menyarung jersi Negeri Sembilan dalam saingan Liga Super tidak lama lagi.
”Penyerang. Liga Super,” balas Faliq kepada salah seorang pengguna X sekaligus memberi petanda buat para peminat Jang.
Penyerang baharu itu dijangka bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Mika dan menggalas tugas besar bagi menambah baik ketajaman jentera serangan skuad Jang.
Aksi Liga Super minggu ke-11 menyaksikan Negeri Sembilan akan bertandang ke Stadium Bandaraya bagi bertemu Pulau Pinang pada Ahad dengan sepak mula jam 5.30 petang.