Negeri Sembilan FC menafikan laporan bahawa mereka hendak mendapatkan penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Jorge Obregon.
Perkara ini disahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Negeri Sembilan, Faliq Firdaus apabila diminta mengulas tentang khabar angin tersebut.
Sebelum ini, satu laporan media mengatakan penyerang berusia 28 tahun itu akan menyertai Sang Rusa untuk kempen musim 2025/26.
Apabila ditanya tentang hal itu, Faliq mengakui Obregon seorang penyerang yang bagus. Pada masa sama, beliau memaklumkan penyerang itu tidak berada dalam perancangan Negeri Sembilan.
“Dia (Obregon) adalah pemain yang sangat bagus. Kami menghormati kualiti yang dimiliki, dan tidak menolak kemungkinan dia adalah penyerang yang berbisa.
“Akan tetapi, dia tidak berada dalam perancangan kami,” katanya seperti dilaporkan Stadium Astro.
Faliq turut memaklumkan tonggak import Sang Rusa bakal diperkenalkan secara berperingkat pada Julai ini.
Musim 2025/26 menyaksikan Negeri Sembilan diperkuatkan dengan kehadiran pemain bintang seperti Luqman Hakim Shamsudin, Azri Ghani dan Khuzaimi Piee.