Negeri Sembilan FC tidak akan terburu-buru dalam mencari pengganti jurulatih sebelumnya, Nidzam Jamil.
Hal ini dinyatakan Pengerusi Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun apabila diminta mengulas tentang perkara tersebut.
Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan melihat pasukan itu memiliki masa sehingga akhir musim 2025/26 untuk menilai calon sesuai sebagai pengganti Nidzam.
Selain itu, pengurusan Sang Rusa juga ingin memberi peluang kepada jurulatih interim, K. Rajan menstabilkan pasukan dan memperbaiki kedudukan dalam liga.
“Kita belum ada lagi (senarai calon pengganti Nidzam). Kita ada masa sampai Mei, (jurulatih interim) yang ada sekarang ini boleh mengurus sehingga Mei,” katanya.
“Selepas itu, baru kita boleh fikirkan (pengganti Nidzam). Ramai orang bagi senarai membabitkan empat atau lima orang jurulatih dan ada yang boleh didapatkan.
“Tetapi kita belum terdesak untuk isi buat masa sekarang. Bagi kita masa sedikit untuk tengok corak permainan dalam dua atau tiga perlawanan yang kita lalui, baru kita buat keputusan.”
Aminuddin berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Sembilan baru-baru ini.
Nidzam mengundur diri sebagai jurulatih Sang Rusa baru-baru ini. Ini susulan prestasi tidak menentu yang dihadapi pasukan itu terutama dalam saingan Liga Super.