‘Nenek Saya Malaysia’ Gabriel Palmero Dedah Susur Galur Keturunannya
MakanBola
Malaysia NT

Pertahanan kiri Harimau Malaya, Gabriel Palmero membuka cerita tentang neneknya yang merupakan warganegara Malaysia.

Tonggak warisan Sepanyol-Malaysia itu mula menyarung jersi kebangsaan pada kem latihan pusat, Mac lalu namun tidak menjadi sebahagian daripada skuad yang menewaskan Nepal dengan keputusan 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri. 

Pemain berusia 23 tahun ini bagaimanapun turun selaku pemain gantian ketika kejayaan Harimau Malaya menumpaskan jaguh Asia Tenggara, Vietnam dengan keputusan 4-0 di Bukit Jalil bagi aksi kedua Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027.

Palmero bagaimanapun menjawab pertanyaan peminat bola sepak Malaysia mengenai susur galurnya apabila mengesahkan bahawa neneknya berasal dari Malaysia.

“Ya, nenek saya orang sini (Malaysia).

“Namun begitu, saya dan juga dia (nenek) tidak pernah ke sini lagi,” katanya menerusi video yang dikongsikan oleh Syafiq Ahlil.

Beliau juga mendedahkan bahawa dirinya berasal dari La Palma atau lebih dikenali sebagai Canary Island yang terletak di lautan Atlantik yang berhampiran dengan Maghribi.

Palmero dijangka terus menjadi tunjang utama di bawa kendalian Peter Cklamovski tatkala Malaysia bakal mengharungi aksi CAFA Nations Cup pada bulan September ini.