Nguyen Xuan Son Sudah Mula Jalani Latihan Ringan
MakanBola
Thep Xanh Nam Dinh FC

Penyerang berbisa Vietnam, Nguyen Xuan Son memberi khabar gembira kepada pasukan itu baru-baru ini.

Sebelum ini, Xuan Son atau nama sebenarnya Rafaelson mengalami kecederaan patah kaki dalam aksi kedua final ASEAN Championship 2024.

Kecederaan yang dialami dalam aksi final tersebut mengakibatkan penyerang berusia 28 tahun itu berehat panjang.

Malah, wujud kebimbangan Xuan Son berpotensi tiada untuk aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Malaysia pada 10 Jun ini.

Justeru, tidak hairanlah status kecergasan terbaru penyerang berdarah Brazil itu menceriakan penyokong Vietnam. Xuan Son sudah mula menjalani latihan ringan bersama kelabnya, Thep Xanh Nam Dinh baru-baru ini.

Malah, beliau sempat bergurau dengan rakan-rakan sepasukannya bahawa beliau akan beraksi selama 30 minit.

Kehadiran semula Xuan Son memberi inspirasi kepada Nam Dinh untuk mengalahkan Hai Phong 2-0 dalam aksi terbaru V. League 1 pada 6 April lalu.

Sekiranya proses pemulihan bekas penyerang Vegalta Sendai itu berjalan lancar, tidak mustahil khidmatnya akan dipanggil jurulatih Vietnam, Kim Sang-sik pada Jun ini.

Meskipun baru merekodkan empat penampilan bersama Pahlawan Bintang Emas, Xuan Son sudah meledakkan tujuh gol. Ini juga menjadikan beliau penjaring terbanyak ASEAN Championship 2024.