Penyerang naturalisasi Vietnam, Nguyen Xuan Son tak sabar untuk membalas dendam terhadap Malaysia.
Tonggak berusia 29 tahun itu tidak beraksi ketika skuad Bintang Pahlawan Emas itu tewas kepada Harimau Malaya dengan keputusan 4-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Kekalahan itu menyaksikan Malaysia berpeluang cerah untuk mara ke pentas Piala Asia 2027 di Arab Saudi tatkala beliau masih dibelenggu kecederaan yang menyaksikan aksinya tidak kelihatan hampir 8 bulan.
Xuan Son yang meraikan kejayaan selepas pasukannya, Nam Dinh menjulang kejuaraan V-League baru-baru ini masih berkobar-kobar untuk membalas dendam terhadap kekalahan di tangan Malaysia tempoh hari.
“Saya memuat naik hantaran di Instagram tempoh hari kerana saya mahu kembali dan membalas dendam terhadap Malaysia,” katanya seperti yang dilaporkan oleh VNExpress.
Menurut Son, kekalahan 0-4 kepada Harimau Malaya baru-baru ini merupakan keputusan yang tidak boleh diterima oleh pasukan Vietnam serta semua penyokong.
“Menang dan kalah adalah sebahagian daripada permainan tetapi seperti orang lain, saya juga berasa kesal dan sedih apabila memikirkan tentang perlawanan itu.
“Oleh itu, saya lebih bersemangat untuk menunggu hari untuk kembali lebih kuat untuk membantu pasukan,” tambahnya.
Beliau dijangka bersedia bagi aksi terakhir kumpulan menentang Malaysia di laman sendiri pada 31 Mac 2026.