Peter Cklamovski: Ini Cara Harimau Malaya Berkembang
MakanBola
Malaysia NT

Pengendali pasukan kebangsaan Malaysia, Peter Cklamovski melihat peluang beraksi menentang jaguh handalan di rantau Asia bakal memberi kelebihan buat Harimau Malaya.

Skuad Harimau Malaya dijadualkan menyertai CAFA Nations Cup 2025 bersama 7 lagi buah negara iaitu Uzbekistan, Iran, Turkmenistan, Tajikistan, Kyrgyzstan, Afghanistan dan Oman.

Kejohanan yang bakal berlangsung pada September itu bakal memberi satu cabaran yang hebat buat pasukan kebangsaan apabila rata-rata negara yang sertai menghuni rangking lebih tinggi berbanding Malaysia.

Peter Cklamovski dalam satu sesi temu bual melihat peluang menyertai CAFA Nations Cup ini adalah satu ujian mencabar apabila berdepan lawan yang mampu memberi saingan yang berbeza.

”Ini adalah peluang dan sesuatu yang mencabar untuk ke CAFA Nations Cup berdepan Iran, Uzbekistan yang sudah layak ke Piala Dunia,” kata Peter Cklamovski kepada Astro Arena.

“Setiap pasukan memberikan cabaran berbeza,” tambah beliau secara ringkas.

Sungguhpun begitu, ini bakal menjadi aksi pertama Peter Cklamovski bersama Malaysia di tempat lawan dan beliau menganggap lawan seperti ini dapat membantu Harimau Malaya berkembang.

“Kami akan beraksi di luar negara buat pertama kali pada September.”

“Penting buat kami beraksi menentang lawan yang sukar dan mampu menguji kami (oleh kerana) itulah caranya Harimau Malaya berkembang,” kata pengendali kelahiran Australia itu.

CAFA Nations Cup bakal bermula pada 26 Ogos sehingga 9 September dengan Kyrgyzstan dan Uzbekistan telah dipilih sebagai tuan rumah untuk kejohanan yang memasuki edisi kedua ini.

Edisi sulung CAFA Nations Cup pada 2023 lalu menyaksikan Iran dinobatkan sebagai juara setelah mengatasi Uzbekistan 1-0 di perlawanan akhir manakala Oman dan Kyrgyzstan pula di tempat ke-3 dan keempat.