Pemain sayap Itali, Nicolao Cardoso sah tidak bersama Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) apabila menyertai kelab Indonesia, PSS Sleman.
Perpindahan bekas pemain sayap Napoli itu diumumkan Laskar Sembada menerusi satu pengumuman di platform rasmi mereka pada 30 Julai lalu.
Cardoso atau nama sebenarnya Nicolao Manuel Dumitru Cardoso menjadi pemain import terakhir yang mengisi kuota lapan pemain import PSS Sleman untuk musim 2024/25.
“Nicolao Cardoso melengkapi barisan pemain asing Super Elja musim ini! Mari berjuang bersama Nico!” kata pengurusan kelab itu dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, pemain sayap berusia 32 tahun itu menyertai Harimau Selatan pada tetingkap perpindahan pertama Liga Malaysia (Liga M). Walau bagaimanapun, beliau tidak merekodkan sebarang penampilan bersama JDT.
Ini disebabkan Cardoso perlu bersaing dengan ramai pemain untuk posisi sayap. Antara pencabar beliau ialah Arif Aiman Hanapi, Oscar Arribas, Heberty, Mohamadou Sumareh, Fernando Forestieri, Juan Muniz dan Romel Morales.
Selepas JDT sah mendapatkan bekas pemain sayap Huesca, Enzo Lombardo, khidmat Cardoso tidak dikekalkan. Ini membuka ruang buat dirinya menyertai PSS Sleman.
Cardoso menyertai Danilo Alves, Cleberson, Gustavo Tocantins, Moon Chang-jin, Phil Ofosu-Ayeh, Betinho dan Alan Bernardon sebagai tonggak import Laskar Sembada.