Bekas pengendali Selangor FC, Nidzam Jamil bakal kembali mewarnai saingan Liga Malaysia (Liga M).
Ini selepas wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam melaporkan jurulatih berusia 44 tahun itu sedang mengadakan perbincangan dengan pengurusan Sang Rusa.
“Dari Kajang ke Seremban, Nidzam Jamil difahamkan dalam perbincangan menyertai Negeri Sembilan sebagai jurulatih baharu,” katanya di X.
Sekiranya perkara ini menjadi kenyataan, maka ini bakal menjadi pertukaran jurulatih kedua yang dihadapi Negeri Sembilan dalam saingan Liga M.
Sebelum ini, pengurusan Sang Rusa memilih bekas pemain tengah kebangsaan, K. Nanthakumar untuk memimpin pasukan itu pada Ogos 2024.
Nidzam memiliki rekod baik bersama Selangor meskipun hanya membimbing pasukan itu dari Mac hingga Oktober 2024.
Beliau membantu Merah Kuning merekodkan 13 kemenangan, tiga seri dan enam kekalahan dalam semua kejohanan termasuk Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2). Nidzam turut membantu pasukan itu muncul naib juara Piala FA 2024.
Salah satu aksi yang mencuri perhatian penyokong ialah aksi Selangor menentang Jeonbuk Hyundai Motors pada 23 Oktober lalu. Aksi tersebut menyaksikan Merah Kuning merekodkan kemenangan 2-1 di Stadium MBPJ.