Ketua Jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil tetap positif dengan persembahan pasukannya sungguhpun tewas 3-2 di tangan Terengganu.
Beliau yang ditemui selepas perlawanan di Gong Badak memaklumkan bahawa pasukannya sudah berusaha sebaik mungkin.
Pengendali muda ini bagaimanapun terpaksa berpuas hati dengan aksi bertenaga anak buahnya untuk menghabiskan perjuangan 90 minit di laman lawan.
Nidzam Jamil memuji kualiti yang dimiliki oleh jentera serangan Skuad Peteh yang berjaya meledak tiga gol membolosi The Red Giants.
“Kita cuba menghabiskan perlawanan dengan 2-2 tetapi kita bercakap mengenai Terengganu yang memiliki organisasi bagus, bahagian tengah yang bagus.
“Mereka memiliki jentera serangan yang bagus. Akinade, Akhyar, Safawi. Keluar mereka ada Syahmi, Nik dan juga Hakim.
Nidzam sedar usaha untuk membawa pulang keputusan yang positif agak sukar tetapi masih memiliki baki 90 minit di Stadium MBPJ.
“Saya yakin baki perlawanan 90 minit di MBPJ lebih menarik untuk ditonton.
“Dengan kualiti yang dimiliki oleh pemain Selangor, kita cuba mencari kemenangan dan keluar dengan keputusan positif tetapi kalah 3-2 tak teruk kot,” jelasnya selepas perlawanan.
Ujian berikutnya buat Selangor adalah aksi menentang Penang pada 27 Julai 2024 di laman sendiri.