Pengendali Selangor FC, Nidzam Jamil mahu membuktikan jurulatih tempatan juga mampu menyerlah dalam saingan Liga Super.
Musim 2024/25 menyaksikan enam jurulatih tempatan mewarnai saingan liga. Selain Nidzam, Azzmi Aziz, Nafuzi Zain dan Yusri Che Lah masing-masing diberi kepercayaan melatih Negeri Sembilan FC, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Perak FC.
Manakala Akmal Rizal Ahmad Rakhli, P. Maniam dan Datuk Ong Kim Swee masing-masing menggalas peranan sebagai pengendali Penang FC, PDRM FC dan Sabah FC.
Nidzam melihat kejayaan membawa Selangor ke pentas final Piala FA 2024 sebagai satu peluang bukan saja membuktikan keupayaan jurulatih tempatan membawa kejayaan buat pasukan mereka.
Selain itu, beliau juga mahu menunjukkan jurulatih tempatan mampu menawarkan banyak aspek positif sekiranya diberi peluang bergelar jurulatih pasukan Liga Malaysia (Liga M).
“Saya fikir ramai jurulatih tempatan di luar sana gambarkan peluang macam inilah. Dan saya antara jurulatih tempatan yang nak cuba buktikan bahawa kita ada banyak perkara yang boleh ditawarkan,” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan Selangor-Terengganu FC baru-baru ini.
Selangor layak ke final selepas meraih keputusan agregat 6-4 ke atas lawan mereka dari Pantai Timur itu. Hatrik Safuwan Baharudin dan gol Reziq Bani Hani memastikan kemaraan Merah Kuning.
Selangor bakal berentap dengan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) di pentas final. Harimau Selatan mara selepas menewaskan Kedah 5-1 secara agregat.