Nidzam Jamil Puji Mentaliti 8 Pemain Selangor Di Qatar
Liga Super
Selangor FC
Advertisements

Jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil memuji mentaliti yang dipamerkan lapan pemain pasukan itu yang beraksi dalam Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) 2024 baru-baru ini.

Skuad negara yang dibimbing Juan Torres Garrido membawa lapan pemain Merah Kuning untuk kejohanan berkenaan.

Lapan pemain tersebut ialah Mukhairi Ajmal, Nooa Laine, Azim Al Amin Kamaruddin, Syahir Bashah, Muhammad Abu Khalil, Zikri Khalili, Harith Haiqal Adam Afkar dan Aliff Izwan Yuslan.

Advertisements

Harith Haiqal dan Mukhairi turut dipilih Garrido untuk menggalas peranan sebagai kapten pasukan.

Malaysia menamatkan kempen Piala Asia B-23 2024 di tangga keempat Kumpulan D. Skuad negara merekodkan tiga kekalahan dan satu gol di peringkat kumpulan.

Advertisements

Meskipun skuad negara gagal mencapai sasaran layak ke suku akhir Piala Asia B-23, Nidzam melihat ada sisi positif yang berguna untuk karier mereka.

Beliau yang juga bekas pemain kebangsaan melihat pemain-pemain ini semakin matang. Dan Nidzam percaya pengalaman pahit di Qatar akan membantu para pemain untuk tampil lebih baik selepas ini.

Advertisements

“Saya fikir perkara yang berlaku kepada mereka itu, saya cenderung untuk lihat dari sisi yang baik. Mereka bertambah matang, saya cakap dengan semua ya.

“Daripada Nooa sampai (Mukhairi) Ajmal, dari Jebeng (nama panggilan Harith Haiqal) hingga penjaga gol, Azim (Al Amin). (Saya bercakap dengan) kesemua lapan pemain.

Advertisements

“Muhammad baru 18, 19 tahun sudah bermain tahap 23 Asia. Perkara ini bukan mudah untuk mereka. Semua beri maklum balas yang bagus tentang pengalaman mereka.

“Tapi sekali lagi, dalam bola sepak kita menilai mereka dari segi keputusan. Tetapi sebagai jurulatih, kita menilai mereka dari segi kemajuan.

“Jadi, apa saja kemajuan pengalaman yang mereka timba itu saya fikir saya gembira untuk mereka. Saya fikir semua orang mahu jadikan pengalaman di Qatar itu untuk menjadikan mereka lebih matang dan lebih profesional dalam cara berfikir,” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan Selangor Asia Challenge (SAC) 2024 semalam.

Walaupun lapan pemain ini baru tiba di tanah air dari Qatar baru-baru ini, mereka sudah mengikuti latihan bersama skuad Merah Kuning.

Malah, Nidzam turut menurunkan beberapa pemain B-23 negara sebagai pemain gantian semasa perlawanan SAC 2024 membabitkan Selangor dan Duli Pengiran Muda Mahkota FC (DPMM FC).

Perlawanan tersebut berkesudahan dengan kemenangan besar 4-0 kepada Selangor. Noor Al-Rawabdeh dan Alvin Fortes masing-masing menyumbang dua gol dalam perlawanan semalam.

Selangor selepas ini bakal menentang kelab Laos, Young Elephants untuk aksi kedua SAC 2024 pada 28 April.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram