Nidzam Jamil: Safuwan Baharudin ‘Berkorban’ Demi Pemain Muda
MakanBola
Azrihazq/MakanBola/Selangor FC
Sponsors

Jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil memuji karakter Safuwan Baharudin yang mengetuai kejayaan pasukan menyingkirkan Kuching City dalam aksi suku akhir Piala FA di Kelana Jaya pada Sabtu.

Selangor yang bangkit dari ketinggalan secara agregat pamer semangat juang yang tinggi meskipun dipaksa beraksi dengan 9 orang pemain sebelum penentuan sepakan penalti memberikan kemenangan buat The Red Giants.

Ad

Menurut Nidzam, para pemainnya telah berusaha keras untuk menghadiahkan kemenangan ini buat peminat walaupun terpaksa berjuang tanpa dua tonggak iaitu Yohandry Orozco dan Reziq Bani Hani yang dilayangkan kad merah.

Ad

”Pemain memberikan usaha 100% kerana kita memang mahukan kemenangan ini bukan untuk kami tetapi untuk para peminat yang hadir bagi setiap aksi,” kata Nidzam ketika ditemui di sesi sidang media pasca perlawanan.

Beliau memuji Safuwan Baharudin yang tampil penuh aura sebagai kapten pasukan untuk mengambil tanggungjawab sebagai pemain pertama ketika penentuan sepakan penalti bagi mengurangkan bebanan pemain lain.

Ad

”Saya boleh katakan Safuwan Baharuddin adalah contoh terbaik. Beliau ketuai sepakan penalti dan mengambil sepakan pertama untuk mengurangkan tekanan kepada ‘adik-adiknya’ (pemain muda),” ujarnya lagi kepada media.

Ad

Kehadiran pemain kebangsaan Singapura itu turut banyak membantu beliau untuk menguruskan para pemain ketika berada di atas padang dan merasakan impak Safuwan seakan seorang pembantu jurulatih baginya.

Ad

“Jadi saya rasa dengan adanya Safuwan di dalam pasukan seperti adanya seorang pembantu jurulatih di atas padang, beliau yang menenangkan pemain dan menguruskan segalanya (di atas padang). Beliau sememangnya seorang pemain yang berkelas tinggi.”

Kemenangan epik 5-3 dalam penentuan sepakan penalti ini membawa Selangor mara ke peringkat separuh akhir dan akan menentang Terengganu untuk aksi pertama di Kelana Jaya pada 20 Julai sebelum aksi timbal balik di Gong Badak pada 3 Ogos.

Selepas ini, Selangor akan kembali fokus kepada saingan Liga Super 2024/2025 dengan bertandang ke Cheras untuk menentang KL City dalam aksi derbi Lembah Klang pada 14 Julai.