Pengendali Selangor, Nidzam Jamil optimis dengan peluang pasukan bimbingannya untuk kembali bangkit dari kekecewaan menjelang aksi kedua Piala FA di Stadium MBPJ minggu hadapan
Pada Sabtu, Selangor yang bertandang ke Stadium Negeri Sarawak dikejutkan dengan kekalahan tipis 2-1 kepada Kuching City dalam aksi yang diuji dengan cuaca buruk beberapa jam sebelum perlawanan.
Tonggak import Selangor, Ronnie Fernandez meletakkan The Red Giants di hadapan pada minit ke-31 sebelum kedudukan terikat hasil percubaan jarak dekat James Okwuosa pada masa kecederaan.
Gol kemenangan Kuching City dijaringkan oleh Jordan Mintah pada minit ke-65 setelah memanfaatkan kesilapan komunikasi di antara Sharul Nazeem dan penjaga gol Selangor, Sam Sommerville.
Nidzam Jamil yang ditemui selepas perlawanan berkata, kekalahan ini bagaikan satu panggilan untuk mengejutkan pasukannya dari dibuai keselesaan dan melihat ini sebagai satu yang positif menjelang aksi kedua minggu hadapan.
”Ini adalah panggilan untuk mengejutkan kita. Sudah tentulah kalah 2-1 di tempat lawan tetapi saya rasa kita ada peluang untuk tebus balik minggu hadapan. Kita perlu positif tentang hal ini,” katanya kepada Astro Arena.
Tambahnya lagi, dalam bola sepak kesilapan seperti ini pasti berlaku dan sebagai pasukan, mereka akan duduk berbincang kembali bagi mengenalpasti punca dan bangkit kembali untuk perlawanan seterusnya.
”Sudah tentulah di separuh masa pertama dan kedua ada kesilapan yang menyebabkan gol. Akan tetapi inilah bola sepak, kita perlu jangkakan perkara-perkara macam ini juga. Kita akan kenalpasti dan kembali lebih baik.”
Jurulatih berusia 44 tahun ini tidak sekalipun mencurigai kualiti para pemainnya dan mahukan anak-anak buahnya bangkit dalam tempoh enam hari ini untuk menghidupkan peluang meraih kemenangan di Kelana Jaya Sabtu hadapan.
”Saya tak sangsi pun dengan kualiti pemain saya, memang akan ada hari yang kita lalui perkara macam ini dengan cuaca dan padang namun saya tidak mahu mengeluh banyak,” tambah pengendali kelahiran Kajang itu.
“Kita akan fokus kepada pasukan kita dan kita mempunyai lima hingga enam hari dan kita tidak sabar untuk bermain di Stadium MBPJ nanti kerana saya rasa kita masih ada peluang, jadi tak perlu kita merubah banyak perkara.”
Aksi timbal balik suku akhir Piala FA 2024/2025 bakal berlangsung pada 6 Julai hadapan dengan Selangor akan melayani kunjungan Kuching City di Stadium MBPJ dalam misi menebus kekecewaan di Sarawak.