Aksi suku akhir pertama Piala FA 2024 membabitkan Kuching City FC dan Selangor FC pada 29 Jun diuji dengan cuaca buruk.
Aksi suku akhir pertama ini dilihat medan bagi kedua-dua pasukan untuk mendapatkan bekalan gol sebelum aksi suku akhir kedua pada 6 Julai ini di Stadium MBPJ.
Meskipun begitu, berdasarkan satu hantaran yang disiarkan oleh pengurusan Kuching City, hujan lebat dan ribut petir melanda kawasan sekitar Stadium Negeri, Kuching ketika ini.
Selain padang Stadium Negeri yang digenangi air, ada penyokong yang melaporkan insiden pokok tumbang berlaku sekitar kawasan stadium.
Atas sebab itu, pengurusan The Cats berusaha membuat persiapan terbaik sebelum sepak mula perlawanan dapat dijalankan.
“Keadaan di Stadium Negeri selepas ribut petir sebentar tadi. Segala persiapan yang telah dibuat sedikit terganggu dan pihak kami cuba untuk menyelesaikan secepat mungkin sebelum sepak mula.
“Dilaporkan juga terdapat pokok tumbang di sekitar stadium. Penyokong yang ingin ke Stadium Negeri dinasihatkan berhati-hati dalam perjalanan,” kata pengurusan Kuching City dalam satu kenyataan.
Anak buah Aidil Sharin Sahak turun untuk aksi ini tanpa lima tonggak iaitu Petrus Shitembi, Danial Amier, Keanu Marsh-Brown, Tchetche Kipre dan Pedro Henrique. Kelima-limanya terpaksa disisihkan kerana mengalami masalah kecederaan.
Sekiranya keadaan cuaca tidak menunjukkan sebarang perubahan, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berpotensi menangguhkan aksi suku akhir berkenaan.