Pemain kacukan Malaysia/Finland, Nooa Laine dijangka akan memperkuat juara bertahan Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta’zim.
Nooa yang kini sedang menikmati musim indah bersama pasukan SJK Seinajoki di Liga Finland bakal menjadi sasaran baharu buat kem Harimau Selatan untuk memperkuatkan lagi jentera tengah pasukan.
Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) memberi bayangan bintang berusia 21 tahun akan menyertai skuad kendalian Hector Bidoglio.
TMJ dalam satu hantaran di laman rasmi Instagram JDT sempat meninggalkan mesej di ruangan komen. Menurut TMJ, Nooa Laine akan menjadi pemain seterusnya yang berhijrah ke JDT.
“Nooa Laine, next. Its done,” tulis TMJ.
JDT pada hari ini telah mengumumkan kemasukan bintang baharu dari Brazil, Murilo Henrique. Sebelum melengkapkan perpindahan ke JDT, Murilo beraksi bersama pasukan SJK Seinajoki dan beliau merupakan rakan sepasukan kepada Nooa Laine.
Jika perpindahan Nooa Laine ke JDT ini tercapai kelak, pilihan pemain di posisi tengah kem Harimau Selatan pastinya akan lebih rancak. Kudrat Nooa pastinya bakal memberi nilai tambah buat JDT sebagai perancang.