Pemain tengah berbakat, Nooa Laine mengakui tidak sabar untuk mencipta memori indah bersama pasukan baharunya, Selangor FC.
Nooa Laine bakal memperkuatkan jentera tengah Selangor untuk saingan musim hadapan bersama-sama Mukhairi Ajmal, Syahir Bashah, Aliff Izwan dan Yohandry Orozco.
Pemain berusia 21 tahun itu juga bersedia merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan dan tidak sabar untuk bermain dibawah kendalian jurulatih Tan Cheng Hoe.
“Saya bangga kerana dapat menandatangani bersama Selangor. Saya rasa Selangor adalah tempat untuk saya capai kejayaan dan saya berbesar hati dapat menyertai Selangor kerana saya dan ejen telah lama berbincang dengan kelab ini.”
“Disebabkan bapa saya dari Malaysia, kami selalu berborak tentang Malaysia dan kemungkinan saya bermain disini.”
“Pertama sekali saya mahu merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan, bermain sebanyak mana yang saya mampu dan memperkuatkan pasukan.” ujar Nooa Laine.
Nooa Laine juga yakin dapat menyesuaikan diri dengan pantas bersama kelab baru itu memandangkan telah bersama dengan beberapa pemain yang mewakili Harimau Malaya sebelum ini.
“Saya rasa tidak lama kerana saya mengenali beberapa pemain yang berada dalam skuad kebangsaan sebelum ini. Bagi saya, bermain dibawah kendalian Tan Cheng Hoe bermakna saya akan belajar banyak perkara untuk mengembangkan lagi bakat saya sebagai pemain dan ini akan membantu pasukan pada masa hadapan.”
“Saya sudah melihat beberapa video, ramai penyokong Selangor yang datang untuk setiap perlawanan dan saya teruja untuk bermain dihadapan mereka.” tambahnya lagi.
Nooa Laine menyertai Selangor secara pinjaman selama setahun dari kelab liga utama Finland, SJK Seinäjoki.