Advertisements
Nooa Laine Tekad Balas Kepercayaan Selangor
Liga Super
MakanBola
Selangor FC

Pemain tengah kebangsaan, Nooa Laine berazam untuk membalas kepercayaan Selangor FC selepas menyertai pasukan itu secara tetap.

Sebelum ini, pemain tengah berusia 21 tahun itu menyertai Merah Kuning secara pinjaman dari kelab Finland, SJK Seinajoki pada Februari lalu.

Meskipun Nooa perlu bersaing dengan pemain berpengalaman di bahagian tengah, itu tidak menghalangnya merekodkan 23 penampilan dan empat bantuan gol bersama Selangor.

Ini mendorong pengurusan pasukan gergasi Lembah Klang itu mengaktifkan klausa perpindahan tetap dalam kontrak pinjamannya. Atas sebab itu, Nooa berterima kasih atas peluang yang diberi Selangor dan berazam membalas kepercayaan yang diberi kepadanya.

“Saya amat berterima kasih atas kepercayaan berterusan yang diberikan oleh Selangor FC. Saya akan sentiasa berusaha untuk meningkatkan prestasi saya dan memberi sumbangan kepada kejayaan pasukan.

“Sebagai pemain, saya akan terus berusaha keras untuk meningkatkan kemahiran diri serta mencapai matlamat peribadi dan pasukan,” katanya kepada laman sesawang rasmi Selangor.

Nooa ketika ini bersama skuad senior Malaysia untuk menghadapi dua aksi persahabatan menentang Laos dan India. Bekas pemain remaja HJK Helsinki itu membantu Harimau Malaya menewaskan Laos 3-1 di Bangkok, Thailand pada 14 November lalu.

Nooa melihat pengalaman bersama Harimau Malaya dapat membantunya menjadi pemain yang lebih baik bila kembali bersama Merah Kuning.

“Sudah menjadi impian buat mana-mana pemain untuk mewakili pasukan kebangsaan masing-masing. Begitu juga dengan saya.

“Antara faktor utama saya menyertai Selangor FC adalah untuk saya terus meningkatkan kualiti saya sebagai pemain bagi mempersiapkan diri untuk pasukan kebangsaan.

“Kini, saya menggalas tugas bersama pasukan kebangsaan dan sudah pasti saya akan memberikan aksi terbaik serta mengumpul sebanyak mungkin pengalaman untuk saya bawa pulang perkara tersebut bersama kelab,” ujarnya.

Kudrat Nooa dijangka ditagih Selangor untuk aksi pusingan 16 terbaik Piala Malaysia 2024/25 menentang Sri Pahang FC. Aksi pertama pusingan 16 bakal berlangsung pada 23 November ini di Temerloh.