Hajat Datuk Azizulhasni Awang meraih pingat emas acara keirin Sukan Olimpik 2024 tidak kesampaian apabila beliau disingkirkan daripada saringan pertama acara keirin individu.
Selepas terkandas di pusingan 1/8 acara pecut individu, jaguh berbasikal trek Malaysia itu mengalihkan tumpuan kepada acara kegemarannya iaitu keirin. Acara ini menyaksikan Azizulhasni meraih pingat gangsa edisi 2016 dan pingat perak edisi 2020.
Meskipun begitu, pusingan pertama acara keirin individu menyaksikan beliau berdepan tentangan jaguh-jaguh dunia dalam saringan pertama. Antara pencabar Azizulhasni dalam saringan ini ialah Matthew Glaetzer dari Australia dan jaguh Belanda, Jeffrey Hoogland.
Ironinya, Hoogland bertanggungjawab menyekat kemaraan beliau dalam acara pecut individu dengan mengungguli saringan pusingan 1/8.
Selain Richardson dan Hoogland, Azizulhasni turut berdepan cabaran pemenang pingat emas Sukan Asia 2022, Kaiya Ota (Jepun), Rayan Helal (Perancis) dan Jair Tjon En Fa (Surinam).
Malangnya, kempen beliau untuk mendapatkan pingat emas berakhir apabila disingkirkan kerana melakukan kesilapan semasa saringan pertama. Ini bermakna Azizulhasni tidak dapat menyertai saingan repechage pusingan pertama.
Perkara ini turut disahkan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam. Ini akan disusuli dengan pengumuman rasmi tentang keputusan berkenaan.
Ini meninggalkan Shah Firdaus Sahrom untuk menggalas cabaran sebagai satu-satunya wakil Malaysia dalam acara keirin.