Jaguh berbasikal trek Malaysia, Datuk Azizulhasni Awang mengetepikan cabaran Luca Spiegel untuk mara ke pusingan 1/16 acara pecut individu Sukan Olimpik 2024.
Selepas mengesahkan kemaraan ke pusingan 1/32 dengan catatan masa 9.402 saat (s), Azizulhasni berharap dapat menebus kekecewaan tersingkir di peringkat suku akhir Olimpik 2020.
Meskipun begitu, Spiegel dilihat ingin memperkukuh reputasinya sebagai pelumba yang meningkat naik.
Ini kerana beliau merupakan pemenang pingat gangsa untuk acara pecut berpasukan bersama Jerman dalam saingan UEC European Track Championship 2023 di Anadia, Portugal.
Sebaik perlumbaan saringan ke-10 bermula, Spiegel berusaha memberi cabaran kepada pelumba elit berusia 36 tahun itu.
Cabaran pelumba berusia 20 tahun itu langsung tidak menggentarkan Azizulhasni. Juara dunia 2017 itu mengekalkan kayuhannya untuk memenangi saringan ke-10 dengan catatan masa 9.885 s.
Sementara itu, seorang lagi pelumba negara, Shah Firdaus Sahrom tewas dalam perlumbaan saringan ketiga dengan pelumba Israel, Mikhail Yakovlev.
Beliau masih berpeluang mengiringi Azizulhasni ke pusingan 1/16 dengan syarat meraih kedudukan terbaik dalam pusingan repechage 1/32.