Jaguh berbasikal trek negara, Shah Firdaus Sahrom bakal berdepan cabaran sukar untuk pusingan 1/32 acara pecut individu Sukan Olimpik 2024.
Ini kerana beliau bakal berdepan saingan wakil Israel, Mikhail Yakovlev dalam perlumbaan saringan ketiga acara berkenaan.
Pelumba berdarah Rusia-Israel itu membuktikan kemampuannya apabila merekodkan catatan masa 9.152 saat (s) dalam sesi kelayakan acara pecut individu.
Catatan masa Yakovlev jauh lebih pantas daripada beberapa jaguh dunia lain seperti Jack Carlin, Jeffrey Hoogland dan Hamish Turnbull. Beliau hanya disaingi oleh Matthew Richardson (Australia) dan Harrie Lavreysen (Belanda).
Ini sama sekali berbeza dengan Shah Firdaus yang merekodkan catatan masa 9.635 s. Catatan masa itu meletakkan beliau di kedudukan ke-22.
Yakovlev turut hadir dengan reputasi sebagai pemenang pingat gangsa UEC European Track Championship. Beliau mengatasi cabaran Hoogland untuk meraih tempat ketiga acara pecut individu.
Sekiranya Shah Firdaus ingin menebus kehampaan tersingkir di peringkat suku akhir edisi 2020 di Tokyo, Jepun, maka beliau perlu mempamerkan prestasi terbaik bila menentang Yakovlev.
Sementara Azizulhasni pula bakal bersaing dalam perlumbaan saringan ke-10 menentang jaguh berbasikal trek muda Jerman, Luca Spiegel.
Seandainya Shah Firdaus dan Azizulhasni berjaya mengatasi lawan masing-masing di pusingan ini, mereka akan mengesahkan kemaraan ke pusingan 1/16.