Hasrat beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei untuk menempa sejarah mara ke separuh akhir Sukan Olimpik Paris tidak kesampaian setelah tewas di tangan wakil Korea Selatan.
Setelah melalui perjalanan indah termasuklah menewaskan beregu China untuk muncul juara kumpulan, Tang Jie-Ee Wei diundi semula untuk berdepan Kim Won Ho-Jeong Na Eun di suku akhir.
Tiga pertemuan lalu menyaksikan 2 kemenangan dicatat Tang Jie-Ee Wei dengan kali terakhir kedua-dua pasangan ini bertemu di China Open 2023 dimenangi oleh beregu negara.
Aksi bermula seimbang dengan kedua-dua beregu tampil penuh bertenaga melancarkan serangan sehingga servis kerap bertukar tangan sebelum Tang Jie-Ee Wei tertinggal 9-11.
Won Ho-Na Eun mula menjarakkan kedudukan selepas itu ditambah pula kesilapan-kesilapan mudah yang dilakukan pasangan negara menyebabkan set pertama menjadi milik wakil Korea Selatan.
Set kedua menyaksikan serba tidak kena corak permainan yang ditampilkan Tang Jie-Ee Wei apabila kerap kali hilang fokus untuk memberi mata-mata mudah buat lawan.
Serangan bertali arus pasangan Korea ini lebih tertumpu ke arah Toh Ee Wei yang bergelut dengan kecederaan sekaligus menamatkan aksi di set kedua juga dengan kemenangan.
Perlawanan di gelanggang 3 berakhir dengan kemenangan 21-19, 21-14 memihak Kim Won Ho-Jeong Na Eun.
Kemenangan ini membawa Kim Won Ho-Jeong Na Eun lolos ke peringkat separuh akhir untuk berdepan satu lagi pasangan Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae Yu Jung.