Beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei melangkah ke suku akhir Sukan Olimpik 2024 sebagai juara Kumpulan D.
Kejayaan ini dicapai apabila mereka melakar kejutan ke atas regu kedua dunia dari China, Feng Yan Zhe dan Huang Dong Ping dalam aksi terakhir kumpulan.
Kedua-dua regu sebelum ini mengesahkan kemaraan ke suku akhir selepas meraih kemenangan dalam dua aksi kumpulan sebelumnya. Pertemuan ini bakal menentukan siapa juara Kumpulan D.
Dari segi rekod pertemuan, kelebihan memihak kepada Yan Zhe-Dong Ping kerana berjaya menewaskan Tang Jie-Ee Wei sebanyak dua kali.
Kali terakhir kedua-dua beregu bersemuka ialah saingan French Open 2024. Yan Zhe-Dong Ping mudah menyingkirkan regu negara itu dengan keputusan 21-18, 21-14.
Set pertama menyaksikan regu pilihan kedua kejohanan itu mendominasi permainan di atas gelanggang. Meskipun Tang Jie-Ee Wei cuba memberi saingan, Yan Zhe-Dong Ping meraih kemenangan 21-17.
Walau bagaimanapun, skrip berbeza ditampilkan skuad negara pada set kedua. Tang Jie-Ee Wei memanfaatkan setiap kesilapan bekas juara Arctic Open 2023 itu untuk mengungguli set kedua dengan keputusan 21-15.
Tersentak, Yan Zhe-Dong Ping cuba bangkit pada set penentuan. Cabaran juara French Open 2024 itu berjaya disekat Tang Jie-Ee Wei sebelum meraih kemenangan dengan keputusan 21-16.
Kemenangan ini menyaksikan Tang Jie-Ee Wei layak ke suku akhir diiringi oleh regu campuran China itu. Aksi suku akhir dijangka berlangsung pada 31 Julai ini.