Hajat beregu wanita utama Malaysia, Pearly Tan dan M. Thinaah meraih pingat gangsa Sukan Olimpik tidak kesampaian.
Ini selepas Pearly-Thinaah terpaksa akur dengan kehebatan wakil Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida dalam aksi penentuan pingat gangsa di Arena Porte de la Chapelle, Paris.
Dari segi ranking dan rekod pertemuan lalu, kelebihan tampak memihak Matsuyama-Shida. Ini kerana regu Jepun itu bukan saja berstatus regu nombor empat dunia.
Malah, mereka turut memiliki kelebihan sembilan kemenangan ke atas Pearly-Thinaah daripada 10 pertemuan sebelumnya. Kali terakhir kedua-dua regu bertemu ialah saingan India Open 2024 dengan kemenangan memihak kepada Matsuyama-Shida.
Set pertama menyaksikan beberapa kesilapan yang dilakukan Pearly-Thinaah menyebabkan Matsuyama-Shida meraih kelebihan selesa pada kedudukan 10-4.
Meskipun regu negara berusaha mengejar untuk merapatkan kedudukan, regu nombor empat dunia itu kekal unggul di hadapan. Matsuyama-Shida kemudiannya meraih kemenangan dengan keputusan 21-11.
Set kedua menyaksikan Pearly-Thinaah berusaha untuk bangkit merapatkan jurang mata. Malangnya, beberapa kesilapan yang dilakukan regu negara menyebabkan Matsuyama-Shida mendahului pada kedudukan 11-6.
Pearly-Thinaah terus berusaha mengejar regu Jepun itu demi mengheret perlawanan ke set penentuan. Walau bagaimanapun, Matsuyama-Shida terus mengekalkan kelebihan mereka sebelum menang dengan keputusan 21-
Meskipun tewas, Pearly-Thinaah patut berbangga kerana mereka menjadi regu wanita pertama Malaysia yang berjaya layak ke separuh akhir Sukan Olimpik. Pencapaian ini dijangka menyemarakkan lagi semangat mereka untuk baki kempen tahun 2024.
Aksi seterusnya bakal menemukan dua wakil China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dan Liu Sheng Shu-Tan Ning untuk penentuan pingat emas.