Pengendali Persis Solo, Datuk Ong Kim Swee mendedahkan beliau ada berhubung dengan pemain Sabah FC, Saddil Ramadani.
Baru-baru ini, pemain sayap berusia 26 tahun itu telah mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong Sabah.
Saddil seolah-olah memberi bayangan musim 2024/25 merupakan musim terakhirnya bersama Sang Badak.
Sejak itu, nama bekas pemain sayap Sri Pahang FC dilaporkan menjadi buruan bukan saja kelab dari Indonesia. Malah, juara MFL Challenge Cup, Selangor FC juga dikhabarkan mendapatkan khidmat Saddil.
Justeru, apabila ditanya tentang beliau, Kim Swee mengakui ada berhubung dengan Saddil. Pada masa sama, jurulatih berusia 54 tahun itu berharap peminat bola sepak menghormati pilihan beliau bila memilih kelab baharu.
“Banyak yang dikatakan tentang Saddil ya. Apa yang saya boleh katakan, saya memang menghubungi Saddil. Itu yang saya boleh katakan,” katanya kepada Bola.com.
“Tetapi soal apakah Saddil Ramdani akan bergabung dengan Persis, mahupun bergabung dengan pasukan mana pun, kita harus menunggu dan menghormati apa yang Saddil putuskan.”
Saddil bukan asing dengan Kim Swee kerana pernah beraksi di bawah bimbingan beliau selama tiga tahun di Sabah.
Saddil bukan satu-satunya pemain yang dikaitkan dengan perpindahan ke Persis Solo. Dua tonggak Harimau Malaya, Dominic Tan dan Stuart Wilkin juga pernah dikaitkan dengan kelab sama.