Pemain sayap kelahiran Indonesia, Saddil Ramdani mengirim ucapan istimewa yang menyentuh hati buat seluruh peminat Sabah.
Sabah mengakhiri kempen Liga Super pada Ahad di tempat ke-3 untuk kali ketiga berturut-turut apabila mengumpul 40 mata selepas 24 perlawanan dengan meraih 11 kemenangan.
Kejayaan meraih tempat ke-3 ini membuatkan ramai pemain Sabah dilaporkan menarik minat kelan luar dengan Dominic Tan serta Stuart Wilkin antara nama yang sedang dipantau.
Selain itu, Sabah juga sudah hampir pasti kehilangan khidmat tonggak import, Saddil Ramdani yang telah mengirim ucapan perpisahan setelah lebih 4 musim menyarung jersi skuad The Rhinos.
Saddil mengucapkan terima kasih di atas peluang bersama Sabah selama ini dan setiap sokongan yang diberikan amat besar maknanya buat pasukan melangkah lebih jauh selepas ini.
”Hai kawan-kawan, saya sangat berbangga dan berterima kasih kerana telah menjadi sebahagian daripada pasukan ini selama 4 tahun 5 bulan,” tulis Saddil Ramdani di Instagram.
“Begitu juga buat masyarakat Sabah yang sentiasa memberi sokongan di mana sahaja kami bermain serta berada. Tanpa sokongan kalian, pasukan ini tidak akan mampu melangkah sejauh ini.”
Tambah Saddil, setiap kenangan pahit dan manis yang dilalui bersama pasukan dan penyokong setia Sabah akan sentiasa tersemat di dalam hati meskipun tidak lagi bergelar pemain kelab itu.
“Dari lubuk hati saya yang paling dalam, kenangan bersama kalian akan sentiasa terpahat dalam ingatan,” luah Saddil di ruangan kapsyen.
Setelah ucapan itu dimuat naik, rata-rata penyokong Sabah hadir meninggalkan komen terima kasih di atas jasa Saddil yang banyak membantu pasukan meraih kejayaan selama ini.
Menurut laman Transfermarkt, Saddil telah merekodkan 87 penampilan buat Sabah sejak tiba pada Februari 2021 dan menjaringkan 22 gol selain melakukan 30 bantuan jaringan.
Masa hadapan Saddil selepas ini masih belum diumumkan secara rasmi namun ada khabar angin mengatakan beliau akan menyertai Persib Bandung di bawah kendalian Bojan Hodak.