Pasukan Liga Super, Sabah FC jelas hampa dengan prestasi semasa pasukan apabila tewas kali ke-4 dalam 5 perlawanan musim ini.
Perkara ini dijelaskan oleh Ketua Jurulatih, Datuk Ong Kim Swee apabila melihat pasukannya tumbang kepada The City Boys.
Pengendali berusia 53 tahun itu kelihatan hampa selepas pasukannya tunduk kepada KL City di Cheras dengan keputusan 3-0.
Kim Swee lihat krisis kecederaan menyebabkan pasukannya sukar untuk mempamerkan rentak terbaik.
“Kita (Sabah) gagal mendapatkan sebarang mata dan layangan kad merah menyukarkan lagi Sabah untuk beraksi.
“Masih ramai pemain Sabah yang mengalami kecederaan. Kita kehilangan Gabriel Peres, Park Tae-su dan juga Saddil Ramdani akibat kecederaan.
“Park Tae-su bermain tetapi dikeluarkan akibat kecederaan. Saddil juga terpaksa diketepikan. Kita perlu memikirkan solusi untuk perkara ini,” jelasnya selepas perlawanan kepada MakanBola.
Kim Swee juga berharap agar pemain muda yang menggantikan peranan dalam setiap perlawanan dapat beradaptasi dengan situasi untuk mematangkan permainan mereka.
Sabah kini berada di tangga ke-6 dengan 10 mata selepas merekodkan kekalahan kedua dalam saingan Liga Super musim ini.
Aksi berikutnya bakal menemukan Sabah dan Sri Pahang di Likas pada 9 Ogos 2024.