Advertisement
Liga Super: KL City ‘Hukum’ Sabah
Liga Super
MakanBola
Sabah FC

Aksi Liga Super minggu 7 menyaksikan KL City melakar kemenangan penting ke atas Sabah.

Kedua-dua pasukan membariskan kesebelasan terbaik namun Sabah turun tanpa tonggak penting iaitu Saddil Ramdani dan juga Darren Lok yang berada di bangku simpanan.

Usaha mencari jaringan oleh The City Boys dilancarkan beberapa kali sebelum sepakan penalti diberikan kepada tuan rumah.

Pertahanan Sabah, Rawilson Batuil tertampan bola menggunakan tangan sebelum kapten pasukan, Paulo Josue gagal menyempurnakan sepakan penalti.

Sabah terpaksa berjuang dengan 10 pemain selepas Rawilson dilayangkan kad merah pada minit ke-43 namun gol sendiri Kwang Min-ko memberikan kelebihan kepada KL City.

Aksi babak pertama tamat dengan keputusan 1-0.

Bersambung babak kedua, Sabah terus menggandakan usaha dengan memasukkan Darren Lok bagi menggantikan Park Tae-su.

KL City menambah satu lagi jaringan menerusi sepakan percuma oleh Paulo Josue menewaskan Khairul Fahmi pada minit ke-61.

Zhafri Yahya menambah derita lawan dengan jaringan ketiga pada minit ke-87 menerusi peluang terbuka di hadapan gawang.

Tambahan masa 6 minit tidak mengubah keputusan perlawanan hingga wisel penamat dibunyikan.

Aksi tamat dengan keputusan 3-0 memihak KL City.

KL City kini menghuni tangga ke-4 dengan 11 mata manakala Sabah pada kedudukan ke-6 dengan 10 mata.

Sabah akan bertemu Sri Pahang manakala KL City akan berdepan Terengganu FC bagi aksi berikutnya.