Jentera serangan Harimau Malaya mengalami perubahan sekali lagi apabila pemain Kuching City, Shamie Iszuan dipanggil bagi menggantikan Darren Lok.
Menerusi satu hantaran di media sosial Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Nur Shamie Iszuan Amin yang sebelum ini berada dalam Senarai Bersedia telah dipanggil melapor diri ke kem latihan pasukan kebangsaan bermula hari ini.
Pemain berusia 29 tahun ini akan menggantikan Darren Lok dari Sabah FC yang hadir melapor diri, semalam tetapi terpaksa dilepaskan, hari ini selepas pemeriksaan doktor mengesahkan terdapat kecederaan hamstring.
Shamie Iszuan merupakan pemain terbaharu yang dipanggil oleh Kim Pan-gon selain Zhafri Yahya yang turut menyertai sesi latihan di Wisma FAM semalam bagi menggantikan tempat penyerang Kedah, Syafiq Ahmad.
Skuad Harimau Malaya kini sedang giat menjalani latihan bagi menghadapi aksi seterusnya dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Kyrgyzstan dan Chinese Taipei awal bulan hadapan.
Pasukan kebangsaan akan terbang ke Bishkek untuk perlawanan kelima kumpulan menentang Kyrgyzstan pada 6 Mei sebelum pulang ke Kuala Lumpur bagi menutup saingan kumpulan berdepan Chinese Taipei pada 11 Mei