Pemain tengah KL City FC, Zhafri Yahya dipanggil jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon sebagai pengganti penyerang Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Syafiq Ahmad.
Sebelum ini, nama penyerang berusia 28 tahun itu tersenarai dalam barisan 26 pemain yang dipanggil Pan-gon untuk dua aksi terakhir kelayakan Piala Dunia 2026.
Beliau menyertai skuad senior negara bersama rakan sepasukan dan penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.
Malangnya, penyokong Harimau Malaya merasa tidak senang duduk selepas melihat Syafiq mengalami kecederaan semasa perlawanan Liga Super antara Kedah dengan Perak FC pada Jumaat lepas.
Situasi itu memaksa jurulatih Sang Kenari, Nafuzi Zain memasukkan Fayadh Zulkifli menggantikan penyerang pinjaman Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) itu pada minit ke-48.
Hari ini, kebimbangan penyokong menjadi kenyataan apabila nama Syafiq terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan.
Kedudukan penyerang itu digantikan Zhafri yang sebelum ini tersenarai dalam senarai pemain yang bersedia masuk menggantikan pemain Harimau Malaya yang cedera. Perkara ini turut disahkan Pan-gon menerusi satu kenyataan hari ini.
“Pemain tengah Kuala Lumpur City FC, Zhafri Yahya yang sebelum ini berada dalam senarai bersedia telah dipanggil melapor diri ke kem latihan pasukan kebangsaan bermula hari ini bagi menghadapi dua perlawanan Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyz pada 6 Jun dan Chinese Taipei pada 11 Jun 2024.
“Zhafri, 30, akan menggantikan tempat penyerang Kedah Darul Aman FC, Syafiq Ahmad yang tidak dapat menyertai kem latihan pusat kali ini selepas disahkan mengalami kecederaan.
“Semoga Syafiq cepat kembali sembuh dan seterusnya dapat dipanggil lagi pada kem latihan pusat Harimau Malaya yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di platform media sosial rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Zhafri menjadi pemain KL City terbaru yang dipanggil menyertai skuad kebangsaan. Beliau menyertai Paulo Josue, Brendan Gan, Haqimi Azim Rosli, Azri Ghani dan Declan Lambert.
Seandainya beliau diturunkan dalam mana-mana aksi kelayakan baik menentang Kyrgyzstan atau Taiwan, maka Zhafri juga akan mencipta sejarah peribadi tersendiri.
Ini kerana itu akan menjadi penampilan pertama pemain berusia 29 tahun itu di peringkat antarabangsa bersama Harimau Malaya.
Skuad negara akan menentang Kyrgyzstan pada 6 Jun sebelum menutup kempen kelayakan dengan menentang Taiwan pada 11 Jun.