Bekas pengendali Malaysia B-23, Datuk Ong Kim Swee menjelaskan perbezaan antara pemain warisan Malaysia dan Indonesia.
Jurulatih pasukan Sabah FC itu kini dalam momentum terbaik apabila The Rhinos berjaya menjulang SMJ Cup selepas menundukkan KL City dengan keputusan 1-0.
Beliau dalam satu temu bual bersama Harimau Malaya memberitahu bahawa terdapat jurang antara pemain warisan yang mewakili Malaysia dan Indonesia.
Kejayaan bola sepak Sang Garuda mendapat perhatian rantau Asia Tenggara susulan kejayaan ke peringkat separuh akhir Piala Asia B-23.
Menurut Kim Swee, kualiti pemain warisan Indonesia yang mendapat pendedahan berkualiti dalam aksi liga di Eropah telah membantu perkembangan pasukan.
“Kalau kita tengok perbandingan pemain warisan Indonesia dan Malaysia, pemain warisan mereka bermain di luar. Mereka bermain dengan kelab yang lebih baik.
“Walaupun bermain dengan kelab Divisyen dua di Eropah, itu lebih baik kerana itu liga yang lebih kompetitif. Mereka bermain dengan pemain-pemain yang berkualiti.
Kim Swee merasakan bahawa faktor pemain warisan Indonesia yang berkelana di luar negara menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan.
“Sebaliknya di negara kita, kita hanya mendapati pemain warisan yang beraksi dalam liga kita sahaja. Mengambil pemain warisan tidak salah, tetapi kita ingin mereka berkelana di luar, bermain dengan kelab yang bermutu dalam liga yang cukup kompetitif,” jelasnya kepada Harimau Malaya.
Skuad muda Indonesia kini selangkah akan beraksi di Olimpik Paris 2024 apabila perlu berdepan Guinea dalam aksi Play-off sementara skuad b-23 negara pulang awal apabila kandas pada peringkat kumpulan.