Bekas pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menerima anugerah Jurulatih Terbaik Mingguan Liga 1 Indonesia.
Beliau menerima anugerah itu susulan prestasi baik Persis Solo dalam aksi minggu ke-25. Aksi tersebut menyaksikan Persis meraih kemenangan 1-0 ke atas Borneo FC.
Gol tunggal Persis dijaringkan Jhon Cley pada minit ke-21. Perlawanan tersebut menjadi sebahagian daripada enam aksi tanpa kalah yang dicatatkan pasukan itu ketika ini.
Rekod tersebut turut membantu Persis menjauhkan diri daripada kelompok penyingkiran liga. Pasukan itu kini menghuni kedudukan ke-14 liga dengan 26 mata.
Sebaik berita ini disiarkan di platform rasmi Persis, ramai penyokong memuji impak positif Kim Swee kepada pasukan itu.
Seorang penyokong bernama Peserta Anonim melihat anugerah itu sebagai pengiktirafan kepada usaha keras beliau membawa Persis keluar dari kelompok penyingkiran.
“Coach OKS sudah sangat-sangat baik. Dia datang dalam keadaan kelab yang memang kurang bagus. Jasa mu akan selalu dikenang di kemudian hari, coach,” katanya di ruang komen Facebook.
Seorang lagi penyokong bernama Mikael turut senada dengannya. Selain mengharapkan khidmat Kim Swee dikekalkan, dia juga mahu Persis membantu bekas jurulatih Harimau Malaya itu merekrut peledak berbisa untuk musim hadapan.
“Wajib dipertahankan. Tinggal tahun besok (musim depan), cari pemain haus gol. Insya Allah bisa membawa Persis ke kedudukan atas,” ujarnya.
Selepas ini, Persis bakal berdepan Malut United untuk aksi liga seterusnya pada 12 April ini.