Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengakui teruja bakal berentap dengan Selangor FC dalam saingan RCTI Premium Sports yang bermula hari ini.
RCTI Premium Sports ialah kejohanan empat sebelah yang diadakan di Jakarta, Indonesia. Selain Sabah dan Selangor, kejohanan ini turut disertai dua kelab Liga 1 Indonesia, Persija Jakarta dan PSIS Semarang.
Perlawanan pertama kejohanan bakal menemukan Sabah dengan juara Piala Malaysia sebanyak 33 kali itu.
Meskipun mengakui Merah Kuning sebagai satu pasukan yang kuat, Kim Swee melihat perlawanan ini bukan saja peluang buat Sabah menimba pengalaman di luar negara.
Malah, ini peluang buat skuad Badak mengekalkan momentum kemenangan terutama apabila Liga Malaysia (Liga M) kembali bersambung selepas kalendar antarabangsa Jun berakhir.
“(Kita) tiba dari Kota Kinabalu sebentar tadi dan menjalani latihan seperti biasa sehari sebelum perlawanan (RCTI Premium Sports).
“Dan kita tahu ini satu perlawanan yang penting, bermain dengan pasukan Selangor di mana kita tahu mereka mempunyai pemain yang cukup berkualiti.
“Tetapi ini peluang untuk saya, peluang untuk pemain-pemain lain untuk menimba pengalaman dan terutamanya pendedahan untuk kita teruskan momentum selepas ini dalam Liga Super dan Piala FA,” katanya dalam satu hantaran video yang disiarkan di platform media sosial Sabah.
Sabah bakal berentap dengan Selangor di Stadium Antarabangsa Jakarta (JIS) hari ini pada jam 5.00 petang (6.00 petang waktu Malaysia).
Pemenang akan bertemu dengan pemenang perlawanan antara Persija dan PSIS pada 30 Jun bagi menentukan status juara dan naib juara kejohanan.