Kei Oshiro menjadi rekrut terbaru Negeri Sembilan FC untuk tetingkap perpindahan kedua Liga Super.
Perpindahan pemain Jepun berusia 25 tahun itu diumumkan pengurusan Sang Rusa menerusi satu kenyataan di platform rasmi mereka.
“Kei Oshiro sah menyertai Negeri Sembilan FC bagi memperkuatkan skuad menghadapi saingan musim ini.
“Pemain kelahiran Jepun ini memiliki ketinggian 182cm dan merupakan produk akademi Urawa Reds, antara akademi terbaik di Jepun.
“Beliau boleh beraksi di posisi pertahanan tengah dan dijangka menambah ketenangan, disiplin serta organisasi di barisan pertahanan pasukan,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Oshiro dijangka tidak berdepan masalah menyesuaikan diri bersama Negeri Sembilan. Ini kerana dua rakan senegara, Takumi Sasaki dan Mio Tsuneyasu turut mewakili Sang Rusa.
Malah, Tsuneyasu dan Oshiro saling mengenali antara satu sama lain. Sebelum menyertai Negeri Sembilan secara pinjaman, Tsuneyasu merupakan rakan sepasukannya di kelab Gainare Tottori.
Oshiro menjadi rekrut kedua Sang Rusa selepas bekas kapten Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC), Oday Kharoub.
Kedua-dua pemain sudah turun menjalani latihan bersama Sang Rusa. Oshiro dan Oday bakal didaftarkan secara rasmi apabila tetingkap perpindahan kedua dibuka pada Isnin.