Negeri Sembilan FC sah membawa masuk jeneral tengah Palestin, Oday Kharoub.
Perpindahan pemain tengah berusia 32 tahun itu diumumkan pengurusan Sang Rusa menerusi satu kenyataan di platform rasmi mereka.
“Oday Kharoub sah menyertai Negeri Sembilan FC sehingga penghujung musim ini. Pemain berusia 32 tahun ini beraksi di posisi tengah bertahan dan turut berkebolehan berperanan sebagai pemain tengah serta pemain tengah menyerang.
“Oday merupakan tonggak berpengalaman pasukan kebangsaan Palestin dengan 46 penampilan antarabangsa.
“Beliau sebelum ini pernah beraksi bersama Al-Ahly SC, sebuah kelab bola sepak profesional yang berpangkalan di Benghazi, Libya,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Oday dibawa masuk sebagai pengganti pemain tengah Ghana, Alex Agyarkwa. Ini selepas pemain berusia 25 tahun itu dipanggil semula pasukannya, Selangor FC.
Oday bukan asing dengan saingan Liga Super. Ini kerana beliau pernah mewakili Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) pada musim 2024/25.
Negeri Sembilan sebelum ini berusaha mendapatkan beliau pada pertengahan tahun lalu tetapi tidak berhasil. Pada akhirnya, mereka berjaya membawa Oday untuk kembali mewarnai Liga Super.
Oday bukan satu-satunya pemain baharu yang dibawa masuk Negeri Sembilan. Selain beliau, seorang pemain liga Jepun juga dikhabarkan akan menyertai pasukan yang dibimbing Nidzam Jamil itu.