Meskipun Paraguay tewas kepada Perancis dengan satu gol, aksi cemerlang penjaga gol mereka, Orlando Gill tetap mencuri tumpuan.
Beliau beraksi sangat baik menentang Perancis pada awal pagi Ahad apabila berjaya melakukan 4 penyelamatan penting. Satu-satunya gol yang dibolosi hadir menerusi sepakan penalti Kylian Mbappé.
Walaupun tewas, Gill tetap dipilih sebagai Michelob Ultra Superior Player of the Match. Ini merupakan kali kedua beliau menerima anugerah tersebut, selepas sebelum ini menjadi wira ketika menyingkirkan Jerman.
Menerusi satu ciapan di X oleh Dataref, Gill dilaporkan menjadi penjaga gol dengan jumlah penyelamatan terbanyak di Piala Dunia 2026, iaitu 23 aksi keseluruhan.
Penjaga gol berketinggian 1.98 meter itu, Orlando Gill, kini beraksi bersama kelab San Lorenzo di Argentina. Namun, perjalanan kariernya tidak mudah. Pada awalnya, Gill hanya penjaga gol simpanan ketiga di kelabnya sebelum peluang tiba akibat kecederaan penjaga gol utama.
Pada tahun 2024, beliau menyertai San Lorenzo di Argentina selepas gagal menembusi skuad utama San Lorenzo Paraguay. Peluangnya berubah selepas Facundo Altamirano cedera.
Pada masa sama, usaha kelab untuk mendapatkan Keylor Navas dan Andries Noppert tidak berjaya. Ini membuka ruang kepada Gill untuk menjadi pilihan utama.
Gill membalas kepercayaan itu dengan mencatat 9 ‘clean sheet’ dalam 16 perlawanan Torneo Apertura. Prestasi itu melayakkan beliau dipanggil ke skuad kebangsaan Paraguay.
Debut antarabangsa senior Gill bersama Paraguay hadir pada September 2025. Ia ketika menentang Peru dalam aksi kelayakan Piala Dunia.
Di sebalik kejayaan itu, kisah peribadinya menyentuh hati ramai. Pasangannya, Melissa Avalos, berkata Gill pernah menjual semua peralatan sukan demi menyara keluarga.
Antara yang dijual termasuk jersi miliknya ketika beliau mewakili Paraguay U-20, pakaian, dan kasut bola sepaknya. Ini berlaku ketika anak mereka menghadapi masalah kesihatan serius.
Avalos berkata, “Dia benar-benar menjual semuanya,” dalam satu perkongsian di Instagram selepas debut Gill bersama Peru.
Beliau turut menyatakan hasrat untuk mendapatkan semula jersi lamanya. Jersi tersebut kini dimiliki rakannya, Pedro Suarez. Beliau membelinya dengan harga 200,000 guarani (AS$32.90) sebelum berjanji akan memulangkannya secara percuma.
Kelab San Lorenzo dilaporkan menetapkan klausa pelepasan bernilai AS$7 juta bagi penjaga gol mereka, Orlando Gill. Pada usia 26 tahun, beliau masih dianggap muda untuk seorang penjaga gol dan memiliki potensi besar untuk berkembang. Aksi cemerlang beliau di Piala Dunia sudah tentu menarik perhatian beberapa kelab Eropah yang sedang memantau prestasi beliau.