Perancang tengah dari Brazil, Oscar sebak dan mengalirkan air mata tatkala mengucapkan selamat tinggal buat kelabnya, Shanghai Port.
Oscar meninggalkan juara England, Chelsea pada tahun 2017 dan mengambil keputusan untuk berkelana ke China dengan yuran perpindahan dianggarkan 60 juta Euro ketika itu.
Sejak itu, Oscar menikmati musim yang gemilang bersama Shanghai Port apabila muncul juara Chinese Super League sebanyak 3 kali juara, Chinese Cup dan Chinese Super Cup sekali.
Sepanjang menyarung jersi Shanghai Port, pemain kelahiran Brazil ini telah mencatat 248 penampilan dan merekodkan 77 gol serta 141 bantuan jaringan buat gergasi China ini.
Kini, setelah 8 musim bersama, jodoh Oscar dan Shanghai Port telah tiba ke penghujung apabila kontrak bekas bintang Chelsea ini bakal berakhir pada 31 Disember hadapan.
Satu video yang tular di media sosial menyaksikan kelibat Oscar yang sebak dan tidak mampu menahan air mata saat mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong Shanghai Port.
Ketika itu, kedengaran suara para penyokong yang meminta agar Oscar terus kekal bersama pasukan yang menyebabkan beliau terus mengalirkan air mata sambil ditenangkan rakan sepasukan.