Advertisements
Oscar Bakal Tinggalkan Shanghai Port? Penyokong Cadang Bawa Ke Liga Malaysia
Transfer
MakanBola
Shanghai Port FC

Nama perancang tengah Shanghai Port, Oscar Emboaba mula disebut-sebut agar kelibatnya dapat dilihat di Liga Malaysia.

Pemain kelahiran Brazil itu menggegarkan arena bola sepak Asia selepas menyertai jaguh China itu dari kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea FC pada tahun 2017.

Perpindahan mega dengan yuran perpindahan sekitar 60 Juta USD (RM267 Juta) itu ternyata berbaloi apabila beliau merekodkan 76 jaringan dan 136 jumlah bantuan jaringan.

Kontrak arkitek berbakat ini difahamkan bakal berakhir pada Disember 2024 sekaligus menyaksikan beliau bakal meninggalkan Shanghai Port.

Beliau yang beraksi ketika menentang wakil Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi pembukaan AFC Champions League Elite (ACLE) terus menambat hati warga Malaysia yang mahu melihat kelibatnya mewarnai kancah bola sepak tempatan.

“Dengar-dengar Oscar dah tamat kontrak dengan kelab China. Kalau JDT dapat pemain macam ini, pasti meletup,” ujar Adam Zatul pada satu hantaran di laman Facebook.

Walau bagaimanapun, sebilangan peminat tidak mahu pasukan terutamanya JDT mendapatkan pemain ini susulan sudah lanjut usia dan tidak lagi berada pada tahap seperti dahulu.

“Tak apa la, pemain sedia ada di JDT pun lagi mantap,” jelas Naim Zainal.

“Membazir, yang ada pun dah padu,” tambah Idzwan di ruangan komen.

Oscar beraksi sebanyak 4 perlawanan di ACLE dan mengumpul penilaian 7.78 mata oleh laman Sofascore hasil persembahan memukau pada setiap perlawanan.

Beliau bagaimanapun telah memberi bayangan sebelum ini bahawa keinginannya adalah untuk pulang beraksi di Brazil.